Kamis, 07 April 2022

Bahasa Ibunda Kami

 


Borneo (Kalimantan) adalah satu dari sekian banyak kawasan terbanyak Bumiputera Bangsa Melayu-nya. Sebab itu pula merupakan wilayah yang menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Ibunda-nya, juga Lingua Franca dalam konteks Bahasa Rasmi, Perdagangan, dan Pergaulan.

 Negeri kami (Negeri Pontianak) selain sebagai ibu negerinya Borneo Barat, juga berperan menjadikan Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi dan Bahasa Administratif ke dalam dan ke luar negerinya, bahasa perhubungan antar kaum, bahasa ‘ilmu, dan tentunya sebagai Bahasa Ibunda bagi tiap anak negerinya. 

Anak Wathan Pontianak itu lahir, membesar, marah, sedih, senang, berfikir, bahkan bermimpi pun dalam Bahasa Ibunda-nya. Hingga kini belum ada satu bahasa pun yang dapat menggantikan keduduk’an Bahasa Melayu selama jatuh bangunnya tamaddun Negeri Pontianak. 

Bahasa Melayu menjadi bahagian terpenting dalam ehwal pembentuk'an jati diri Negeri Pontianak. Tanpa Bahasa Melayu, boleh jadi tak'kan mawjud Negeri Pontianak sebagaimana adanya kini. Peran Bahasa Melayu yang begitu besar ini tentu tak hanya dialami oleh Negeri Pontianak. 

Martabat Bahasa Melayu terletak pada kemasyhurannya sebagai bahasa ilmu, sastera, da'wah, dan tentunya Lingua Franca di segenap Alam Melayu. Bahasa ini menjadi syarat utama bagi para cerdik pandai demi membuka kunci ‘ilmu serta mensyi'arkannya kepada khalayak. 

Dalam peringkat antarabangsa, Bahasa Melayu menempati posisi penting sebagai bahasa perhubungan dan pergaulan. Di manapun penutur Bahasa Melayu bermastautin, di situ pula bahasa ini dipergunakan dalam pergaulan sehari-hari. 

Bahasa Melayu pula menempati keduduk'an penting dalam da'wah Islam, sebagaimana Bahasa Arab, Parsi, Turki, dan Urdu. Sesiapapun yang ingin memperdalami Islam di Kepulauan Melayu (Alam Melayu) ini, maka pengetahuan Bahasa Melayu menjadi syarat utamanya. 

Tak ada yang dapat menafikan bahwa Bahasa Melayu telah melewati sejarah yang panjang hingga seperti saat ini. Bahasa ini menjadi bahasa yang mempersatukan, bukanlah bahasa yang memecah-belah. Bahasa ini berkembang dan menyebar secara damai, bukan di bawah ancaman senjata. 

Bahasa Ibunda kami ini telah merentasi zaman. Juga merupakan bahasa yang tak mengenal sempadan. Setiap negeri Melayu memiliki loghat Bahasa Melayu-nya tersendiri. Di beberapa kawasan tertentu, Bahasa Melayu menjadi bahasa perhubungan antar kaumnya yang berbeda-beda bahasa.

 

"Jika hendak mengenal orang berbangsa,

lihat kepada budi dan bahasa."

Begitulah yang termaktub dalam “Gurindam Dua Belas” Fatsal Lima gubahan Raja Ali Haji. Jadi Bahasa Melayu merupakan bahasa yang selalu bersanding dengan akhlaq budi pekerti yang mulia.

 

"Bahasa kita penuhlah hikmah

Untuk sampaikan ilmu dan kauniyah

Bertentu tuju meluruskan aqidah

Hinggalah insan berakhlaqul karimah"

(dalam “Syair Menjulang Pantun” gubahan Hanafi Mohan)

Bahasa Melayu merupakan bahasa yang penuh hikmah. Yaitu bahasanya para 'alim 'ulama.

 

Bahasa Melayu bukanlah calang-calang bahasa. Inilah bahasa yang telah melewati sejarah nan panjang, merentasi zaman berzaman. Cabaran demi cabaran tentu pula telah ditempuhi oleh bahasa ibunda kami ini. Emas tetaplah emas, walaupun ditutup-tutup dengan arang nan hitam. 

Pahit dan manisnya perikehidupan telah dilalui Bangsa Melayu sepanjang untaian sejarah dan ungkaian tamaddunnya. Selama masa yang tak sebentar itu, selaksa cabaran silih tukar berganti mendera bangsa kami. 

Bangsa Melayu bukanlah bangsa yang baru semalam tegak berdiri di atas hamparan bumi nan fana ini. Cabaran seperti apapun yang mendera bangsa kami, maka segala macam cabaran itu takkan pernah dapat meluluh-lantak’kan bangsa nan besar ini. 

Hampir segenap kawasan Asia Tenggara merupakan laman bermain Bangsa Melayu. Jadi kalau setakat hendak jadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa rasmi di Asia Tenggara itu sebetulnya telah kami capai sejak berabad-abad silam. 

Tekad kami malahan hendak menjadikan Bahasa Melayu sebagai bahasa dunia. Layar pun telah lama terkembang. Kiranya surut dari ke’azaman ini kami berpantang. Dengan mengucapkan Bismillahirrahmanirrahim, kami isytiharkan "Bahasa Melayu sebagai Bahasa Rasmi Dunia, Bahasa Rasmi Antarabangsa". *#*

 

Hanafi Mohan,

(Tanah Betawi, 4-5 Ramadhan 1443 Hijriyyah/5-6 April 2022 Miladiyyah)

0 ulasan:

Posting Komentar