Bahwa inilah syair yang bernama
SINAR GEMALA MESTIKA ALAM
Terhias di dalamnya kisah Maulud Nabi Muhammad
shallallahu 'alaihi wa sallam
yang amat indah ceritanya
Terjemah dengan Bahasa Melayu oleh
Almarhum Raja Ali Al-Hajj
ibnu Almarhum Raja Ahmad Al-Hajj
ta'amadahu lillahi ta'ala birahmati
wa 'ada 'alaina min barakatihi amin
Diterbitkan oleh Mathba'ah Al-Riauwiyah
28 Sya'ban 1311 Hijriyyah / 5 Maret 1894 Miladiyyah
Bismillahirrahmanirrahim
Bismillahi permulaan kalam
Alhamdulillah Tuhan seru alam
Selawatkan Nabi sayyidil anam
Serta keluarganya sahabat yang ikram
Wa ba'duhu kemudian daripada itu
Faqir mengarang syair suatu
Kepada Allah minta' perbantu
Menyudah maulud Nabi yang ratu
Nabi Muhammad rasul yang mulia
Ialah penghulu segala dunia
Barangsiapa berimankan dia
Dunia akhirat mendapat bahagia
Bangsanya Quraisy yang utama
Ayahandanya Abdullah bernama
Bundanya Aminah nama selama
Binti Al-Wahhab yang seksama
Masa dia mengandung Nabiyallah
Tiadalah berat tiadalah lelah
Di dalam Makkah syarafatullah
Beberapa tanda kemuliaan terjumlah
Tatkala bundanya mengandungnya
Ringan dan senang tiada sakitnya
Pada suatu masa waktunya
Antara jaga dengan tidurnya
Datanglah malaikat memberi khabar
Kepada bundanya Aminah muktabar
Engkau ini buntingkan Sayyidil Basyar
Nabi yang mulia yang amat besar
Tatkala hampir akan bulannya
Datanglah malaikat mengajarnya
Beberapa jampi dengan serapahnya
Memeliharakan daripada kejahatan seterunya
Pada awal bulan pertama
Bermimpilah Aminah perempuan utama
Nabiyallah Adam datang menjelma
Berkatalah ia bersama-sama
Katanya hai Aminah yang mulia
Engkau buntingkan penghulu dunia
Beranakkan dia tiada sia-sia
Dunia akhirat mendapat bahagia
Bulan kedua bermimpilah serta
Nabiyallah Idris memberi berita
Kepada Aminah ia berkata
Engkau buntingkan junjungan mahkota
Bulan ketiga dikata orang
Nabiyallah Nuh datang seorang
Berkhabarlah ia dengan yang terang
Nabi dibuntingkan futuh berperang
Bulan yang keempat tahun Fil
Datang kepadanya Ibrahim Al-Khalil
Berkhabar kepadanya sirr dan qalil
Engkau buntingkan Nabi yang jalil
Bulan yang kelima khabar yang tentu
Nabiyallah Isma'il datang begitu
Berkhabar juga demikian itu
Akan kelebihan Nabi yang ratu
Apabila sampai bulan yang enam
Nabiyallah Musa 'alaihissalam
Datang berkhabar di dalam manam
Kelebihan Nabi sayyidil anam
Bulan yang ketujuh pula dikata
Nabi-Allah Daud datanglah serta
Kepada Aminah memberi warta
Kelebihan Nabi alam semesta
Bulan kedelapan Nabi Sulaiman
Datang dengan kesukaan iman
Memberi khabar yang keterangan
Buntingkan Nabi akhiruzzaman
Bulan sembilan tidak selisih
Datang kepadanya Isa Al-Masih
Ia berkata hai kekasih
Engkau buntingkan Nabi yang fasih
Segala Nabi yang disebut itu
Memberi ia khabar yang tentu
Apabila diperanakkan matahari perbantu
Namakan Muhammad demikian itu
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
- Fasal 1 -
Malam Isnin dua belas harinya
Dahulu sedikit daripada fajarnya
Masa diperanakkan oleh bundanya
Beberapa mukjizat zahir padanya
Setengah daripada irhash ikram
Menerangi cahaya tempat-tempat yang kelam
Masyriq dan Maghrib tempat yang balam
Teranglah cahaya Sayyidil Anam
Setengah daripada irhash ter'ala
Habis tersungkur segala berhala
Yang disembah oleh kafir yang cela
Ibadatnya batal tiada pahala
Setengah daripada hairan kira-kira
Bergoncang mahligai singgasana Kusra
Terkejut atasnya bulubalang tentara
Lenyaplah akal budi bicara
Padamlah api yang disembah kuffar
Masa diperanakkan Sayyidil Basyar
Beberapa lagi irhash yang besar-besar
Di dalam Barzanji berpanjangan khabar
Dihias syurga pada malamnya
Menyerulah segala kainat padanya
Masyriq dan Maghrib tiap-tiap pihaknya
Ahla wa sahla perkataannya
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
- Fasal 2 -
Sifat diperanakkan Nabi kita
Terkerat pusat bercelak mata
Berkhatan memang khabar yang nyata
Dengan kodrat Tuhan semesta
Beberapa lagi khabar yang sah
Tatkala dibuntingkan bundanya Aminah
Segala Anbiya' memberi basyarah
Kepada bundanya memberi isyarah
Masa diperanakkan junjungan alam
Hadirlah serta Asiyah dan Maryam
Serta bidadari syurga yang ikram
Datang memuliakan Nabi yang 'azam
Itulah Nabi yang ajaib
bin 'Abdullah bin 'Abdul Mutthalib
bin Hasyim bi larib ...
bin 'Abdil Manaf nama Liqaib
Nama yang betul Al-Mughirah
bin Qushay bin Hakam bin Murrah
bin Ka'ab bin Luway masyhurah
bin Ghalib bin Fihar bin Quraisyiyah
Keturunan daripada Nabiyallah Isma'il
bin Nabiyallah Ibrahim Al-Khalil
Nabi kekasih ra-izil jalil
Dunia akhirat dialah zhalil
Allahumma shalli wa sallim 'alaihi
- Fasal 3 -
Wafat dahulu ayah bundanya
Tinggallah ia dengan yatimnya
Tinggal mamaknya memeliharakannya
Kata orang Abu Thalib namanya
Menyusukan dia beberapa jariyah
Perempuan yang baik-baik shahbul ‘affah
Setengah daripadanya Tsuaibah al-Aslamiyah
Setengah daripadanya Halimatus Sa’diyah
Mamaknya memeliharakan bersungguh-sungguh
Makan dan minum ialah merengkuh
Seumpama menating minyak yang penuh
Karena ia orang tua senonoh
Masa kecilnya beberapa ‘ajaibiyah
Irhash yang nyata mukhaliful ‘addah
Dipayungkan oleh awan yang rendah
Beberapa lagi ajaib yang indah
Seperti tersebut di dalam siarah
Memberi salam setengah hajarah
Susu yang hampa jadi mencurah
Tiadalah payah lagi diperah
Ajaib manusia pada masanya
Melihatkan irhash berbagai macamnya
Di dalam Makkah beberapa zamannya
Tiada pernah seumpamanya
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
- Fasal 4 -
Umurnya sampai duabelas ‘am
Dibawa Mamaknya ke Negeri Syam
Pergi berniaga dagangan bermacam
Berjual beli siang dan malam
Seorang ulama rahib yang ihsan
Dikenalnya Nabi akhiruzzaman
Ia pun terkejut serta hairan
Keluarlah tuturnya tiada tertahan
Aku melihat Rasul yang mulia
Jadi penghulu sekalian dunia
Taurat dan Injil menyebutkan dia
Sifat nubuwahnya nyata sedia
Kayu dan batu sujud baginya
Khatamun-nubuwah antara belikatnya
Apabila Mamaknya mendengar khabarnya
Ia terkejut serta takutnya
Lalu disuruhnya hantar pulang
Takutkan fitnah Yahudi jembalang
Tiada berapa lamanya berselang
Mamaknya balik ke negeri terbilang
Yaitu Makkah negeri sendiri
Sampai ke Makkah berdiam diri
Memeliharakan Nabi sehari-hari
Makan dan pakai yang ugahari
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
- Fasal 5 -
Apabila sampai umurnya ramuzkah
Pergi berniaga ke Negeri Bashrah
Membawa modal Siti Khadijah
Perempuan yang mulia di dalam Makkah
Serta khadamnya Maisarah namanya
Dengan Nabi disuruhkannya
Serta beberapa khalifah sertanya
Daripada Quraisy kaum kerabatnya
Apabila sampai ke Negeri Bashrah
Berhentilah Nabi pada satu arah
Bertentangan dengan suatu shauma’ah
Bagi Pendeta Nashraniyah
Namanya Datuk Nastur Nashrani
Dikenalnya Nabi habiburrahmani
Sebab beberapa pertandaan seni
Daripada irhash Tuhan rabbani
Bersandar kepada kayu hampirnya
Sudah tersebut di dalam kitabnya
Tiadalah lain daripadanya
Melainkan Nabi juha mustahiknya
Dia pun datang menghormatkan
Kepada Maisarah ditanyakan
Alamat di mata diizahirkan
Maisarah mengata ia bahkan
Apabila selesai daripada hal
Berbalik ke Makkah Nabi yang akmal
Serta kaumnya berambal-ambal
Serta keuntungan daripada modal
Sekira-kira Negeri Makkah dekat
Zahirlah pula irhash dahsyat
Siti Khadijah ada melihat
Nabi dinaungi dua orang malaikat
Selesailah Nabi mendengarkan peri
Berangkatlah balik ke rumah sendiri
Segala Mamaknya kanan dan kiri
Berkhabarlah Nabi akan hal diri
Gemarlah segala Mamaknya tuan
Karena Khadijah setinggi-tinggi perempuan
Di dalam Bangsa Quraisy sekalian
Bangsa dan rupa serta hartawan
Pergilah Abu Thalib serta Mamak
Meminang Khadijah perempuan utama
Kepada walinya yang utama
Tiada tertahan lalu diterima
Sudah selesai demikian itu
Nikah kawinlah serta bersatu
Duduklah keduanya beberapa waktu
Dapatlah anak satu ke satu
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
- Fasal 6 -
Tatkala sampai umur empat puluh
Dibangkitkan Allah jadi pesuruh
Mendirikan agama yang amat teguh
Segala agama habislah runtuh
Tiadalah diterima ilahul ‘alam
Selain daripada Agama Islam
Dimulai dengan ra-itul manam
Seperti cahaya falak-ul subhul ikram
Hikmatnya jangan ia terperanjat
Akan melihat malaikat yang hebat
Yaitu Jibrail malaikat yang kuat
Jadi suruhan rabbul kainat
Kemudian daripada itu halnya
Menjauhkan diri daripada kampungnya
Suka bersunyi seorang dirinya
Di Bukit Hira’ konon khabarnya
Bagi Bukhari punya perkataan
Di Jabal Hira’ kira-kira sebulan
Li Ibni Ishaq pada Bulan Ramadhan
Keduanya itu riwayat handalan
Pada malam tujuh belas Laylatul Qadriyah
Malaikat Jibril pun datanglah
Katanya iqra’ makna bacalah
Jawab Nabi yang dibaca apalah
Dipeluk Jibrail serta dipicitnya
Katanya iqra’ dengan sesungguhnya
Dijawab bagaimana bacaannya
Dipeluk Jibrail serta diajarnya
Katanya iqra’ bismirabbika
Membacalah nabi tiadalah leka
Kemudian dari itu beberapa ketika
Kemudian Jibrail datang semula
Membawa firman Allah ta’ala
Yaa ayyuhal muddatsir dibacakan pula
Kemudian yang lain Quran yang a’la
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
- Fasal 7 -
Nabi pun berhadap kepada kaumnya
Membawa firman amar nahinya
Kebanyakan Quraisy mendustakannya
Melainkan Abu Bakar membenarkannya
Setengah Quraisy membenarkannya
Mana-mana yang terdahulu pada azalnya
Membenarkannya bersungguh hatinya
Tiadalah takut atau gentarnya
Seperti Ali karamullahu-wajhah
Dan perempuannya Siti Khadijah
Dan Zaid bin Haritsah
Demikian Bilal ibni Rabbah
Kemudian Utsman bin Thalhah
Dan Sa’ad dan Sa’id kedua bertuah
Dan Ibni ‘Auf ibni Shafiah
Dan lain daripada Quraisyiyah
Dan lain mana-mana untung janji
Masuklah ia ugama terpuji
Ditinggalkannya Agama yang keji
Mengikut Agama shahibul furaji
Mana-mana yang disesatkan Allah
Seperti Abu Jahal laknatullah
Akan Nabi didustakannyalah
Jadilah syaitan seteru Allah
Nabi sebagai jua menyeru
Tiada dipedulikan bapak dan ibu
Tiadalah takut langgar dan serbu
Seumpama tetap kota dan kubu
Lain daripada itu beberapa pula
Suruh dan larang Allah ta’ala
Di dalam Quran ‘azza wa jalla
Perintahan yang baik tiada cela
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
- Fasal 8 -
Apabila dizahirkan olehnya nabi
Agama Islam yang terpuji
Mendustakan kaumnya ahlil-makki
Menyakiti dengan sumpah dan maki
Tiada diindahkan Nabi Muhammad
Bersungguh-sungguh juga mengajar ummat
Melepaskan daripada kafir zhalalat
Di negeri akhirat boleh selamat
Tiadalah mereka itu mengindahkan dia
Diperbuatnya juga perbuatan sia-sia
Menyakitkan Nabi beberapa bahaya
Sampai dilontarnya Nabi yang mulia
Di dalam hal yang demikian itu
Diperintahkan oleh Tuhan yang satu
Mi'raj ke langit khabar yang tentu
Mukjizat yang besar demikian itu
Apabila mati Abu Thalib mamaknya
Serta Khadijah isterinya
Kesakitanlah Muslimin sekaliannya
Beberapa kesusahan ditanggungnya
Di dalam tiada beberapa lama
Berpindahlah Nabi Muhammad ternama
Ke Negeri Madinah yang utama
Di situlah bertambah keras Agama
Sebab berperang Agama yang mulbih
Nabi Muhammad lisanul fashih
Hatinya suci sangatlah bersih
Akan dunia tiada ia kasih
Sifat kepujian dihimpun kepadanya
Sifat kecelaan jauh daripadanya
Hai segala kamu ummatnya
Ikut olehmu akan jalannya
Serta kasih akan dia-nya
Sukakan olehmu mendengar kisahnya
Apalagi Bulan Maulud-nya
Harus dibesarkan itu waktunya
Seperti makan minum ugahari
Jangan yang berat menyakiti diri
Menzahirkan kesukaan demikian peri
Kepada ahlil Islam masyhuri
Karena beberapa negeri yang besar
Mengerjakan Maulud Sayyidil basyar
Tiada ada ulama yang ingkar
Karena adat hasanah yang benar
Tamatlah Syair Maulud ini
Bahasa Melayu di sebelah sini
Aku mukhtasarkan hai ikhwani
Kuambil waqa’ahnya sahaja begini
# Ini do'a dimelayukan adanya
Ayuhai Nabi rasul yang mulia
Harapkan syafa’at kita 'kan dia
Pada Mahsyar berhimpun manusia
Menghukumkan kita Tuhan yang kaya
Ayuhai Nabi junjunganku
Tiadalah lain pengharapan aku
Hanyalah Tuan mahkotaku
Melepaskan dari kejahatan laku
Ayuhai Nabi kami Muhammad
Tuan-hambalah Nabi kasihkan ummat
Syafa’atkan kami hari kiamat
Daripada huru-hara yang amat azmat
Allahumma shalli wa sallim ‘alaihi
Tamatlah Syair Maulud ini
Dikalimahkan dengan Bahasa Melayu
* * *
Kemudian daripada demikian itu
Di akhir nin ada pesan suatu
Kepada pembaca syair nin tentu
Sebarang maklum tuan di situ
Pesanan nazir di mathba’ah ini
Kepada sekalian sahabat ikhwani
Syair yang sudah dithaba’ di sini
Yang lain tak boleh membuat begini
Tiada diizinkan selama-lamanya
Mathba’ah yang lain mencetak dia-nya
Tertentulah mathba’ah yang punya
Bersalahan membeli berapa ratusnya
Karena itulah segala ikhwan
Bolehlah beli wahai bangsawan
Baik laki-laki atau perempuan
Membacanya boleh menghiburkan rawan
Harganya murah sudahlah esah
Tuan tiada berkeluh kesah
Belilah Tuan ahlil-madrasah
syair Nabi empunya kisah
Gemala Mestika syair bernama
Diterjemahkan sudah beberapa lama
Inilah syair yang terutama
Kisah al-Nabi rasul seksama
Bahasa Melayu disyairkan sudah
Sekalian kita tidaklah gundah
Mencari pahamnya jadilah mudah
Tiada panjang tunduk tengadah
Bersalahan Bahasa Arab Kharsani
Sukar dabitnya kita di sini
Bahasa Melayu demikian ini
Mesra pahamnya boleh dijalani
Hingga inilah pesanan beta
Kepada pembaca sekalian rata
Kemudian salam hamba berserta
Tamat al-kalam hamba berkata
#
Sesungguhnya telah selesai dicetak syair ini bihamdillahi al-karim al-wahhab
di dalam Mathba’ah Riauwiyah ‘ala zimmati 'Ali ibni Ahmad Al-‘Athas
pada 28 Sya’ban 1311 Hijriyyah / 5 Maret 1894 Miladiyyah.
<*> C A T A T A N :
- - - - - - - - - - - - - - - - - -
"Syair Sinar Gemala Mestika Alam" adalah karya monumental lain yang ditulis oleh Raja Ali Haji menjelang akhir hayatnya. Karya ini selalu dibaca pada setiap hari peringatan Maulid Nabi Muhammad shallallahu 'alayhi wa sallam. Syair ini mengisahkan tentang kehidupan Nabi Muhammad sejak dalam kandungan ibundanya sampai pada masa kerasulannya. Diterbitkan pertama kali pada 28 Sya'ban 1311 Hijriyyah / 5 Maret 1894 Miladiyyah oleh Mathba'ah al-Riauwiyah, Pulau Penyengat, Riau, setelah beliau meninggal dunia (posthumous).