Sabtu, 17 Mei 2014
Syair Menjulang Pantun
Bismillah itu ayat permulaan
Assalamu’alaykum hamba sampaikan
Kepada hadhirin hadhirat sekalian
Tuan dan Puan marilah dengarkan
Sastera Melayu khazanah bangsa
Budaya dan bahasa patut dijaga
Supaya jangan punah binasa
Sentiasa gemilang serta berjaya
Bahasa kita penuhlah hikmah
Untuk sampaikan ilmu dan kauniyah
Bertentu tuju meluruskan aqidah
Hinggalah insan berakhlaqul karimah
Tersebutlah sastera tradisi Melayu
Selalu masyhur tiada ‘kan layu
Maknanya dalam menyentuh qalbu
Berisi petuah sudahlah tentu
Sastera tersebut Pantun namanya
Khazanah Melayu puak berbudaya
Penanda kaum beradat berbangsa
Kaum yang tentu elok berbahasa
Pantun itu empat lah baris
Dua bagian ia berlapis
Dua lariknya ibarat penapis
Dua kemudian isi penghabis
Pantun tersusun sungguh rapinya
Pertama disebut pembayang namanya
Lalu kedua isilah adanya
Taut bertaut indah dirangkainya
Dalam berpantun haruslah pandai
Patutlah pacak dalam merangkai
Kata bermakna lagi teruntai
Cerminannya jiwa yang telah terungkai
Sastera Pantun indah bahasanya
Warisan budaya kaum berbangsa
Beradat resam sarat untaiannya
Nasihat ajaran makna risalahnya
Menyampaikan pantun berpada-pada
Menjaga hati sanak saudara
Pesan dilafazh sampai ke jiwa
Sentiasa diingat bilapun masa
Adapun pantun bermacam ragamnya
Sesuai maksud ‘kan disampaikannya
Bahasa itu jiwanya bangsa
Untaian pantun khazanah budaya
Demikian Syair telah dimadah
Menjulang Pantun khathamlah sudah
Semoga majelis dilimpah berkah
Wa billahi tawfiq wal hidayah [#@#]
Hanafi Mohan
Ditulis di Tanah Betawi,
25 Jumadil Akhir – 1 Rajjab 1435 Hijriyyah/
26 April – 1 Mei 2014 Miladiyyah
** Syair ini ditulis dalam Bahasa Melayu
*** Khusus dipersembahkan dalam rangka Milad Grup Facebook “Berpantun dalam Celoteh (BDC)” yang ke-1 tahun. Diselenggarakan di Negeri Pontianak, hari Khamis, tarikh 15 haribulan Rajjab sanat 1435 Hijriyyah, bertepatan dengan tarikh 15 haribulan Mei sanat 2014 Miladiyyah.
Sumber gambar ilustrasi: http://fcendvsyudesign.blogspot.com/
Syair ini dimuat di Laman Blog "Arus Deras"
Langganan:
Posting Komentar (Atom)
0 ulasan:
Posting Komentar